Siti Fatimah Az
Zahra r.a mencapai puncak keremajaan dan kecantikannya ketika Islam dibawa Nabi
Muhammad SAW sudah maju dan pesat di Madinah dan sekitarnya. Ketika itu Siti
Fatimah Az Zahra r.a benar-benar telah menjadi anak gadis remaja. Keelokan
parasnya banyak menarik perhatian. Tidak sedikit pemuda terhormat yang menaruh
harapan ingin mempersuntingkan puteri Rasulullah SAW itu. Beberapa orang
terkemuka dari kaum Muhajirin dan Ansar telah berusaha melamarnya. Menangani
lamaran itu, Nabi Muhammad SAW menyatakan bahawa baginda sedang menanti
datangnya petunjuk dari Allah SWT mengenai puterinya itu.
Pada suatu hari Abu
Bakar As Siddiq r.a, Umar Ibnul Khattab r.a dan Saad bin Muaz bersama- sama
Rasulullah SAW duduk dalam masjid baginda. Pada kesempatan itu diperbincangkan
antara lain persoalan puteri Rasulullah SAW. Ketika itu baginda bertanya kepada
Abu Bakar As Siddiq r.a, “Apakah engkau bersedia menyampaikan persoalan Fatimah
itu kepada Ali bin Abi Talib?”
Abu Bakar As Siddiq
r.a menyatakan kesediaannya. Ia berangkat untuk menghubungi Sayidina Ali r.a.
Sewaktu Sayidina Ali r.a melihat datangnya Abu Bakar As Siddiq r.a dengan
tergopoh-gapah, ia menyambutnya dengan terperanjat kemudian bertanya, “Anda
datang membawa berita apa?”
Setelah duduk rehat
sejenak, Abu Bakar As Siddiq r.a segera memperjelaskan persoalannya, “Wahai
Ali, engkau adalah orang pertama yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta
mempunyai lebih keutamaan dibandingkan dengan orang lain. Semua sifat utama ada
pada dirimu. Demikian juga engkau adalah kerabat Rasulullah SAW. Beberapa orang
Sahabat terkemuka telah menyampaikan lamaran kepada baginda untuk dapat
mempersuntingkan puteri baginda. Lamaran itu semuanya baginda tolak. Baginda
menyatakan bahawa persoalan puterinya diserahkan kepada Allah SWT. Akan tetapi,
wahai Ali, apa sebab hingga sekarang engkau belum pernah menyebut-nyebut puteri
baginda itu dan mengapa engkau tidak melamar untuk dirimu sendiri? Kuharap
semoga Allah dan Rasul-Nya akan menahan puteri itu untukmu.”
Mendengar perkataan
Abu Bakar r.a itu, mata Sayidina Ali r.a berlinang-linang. Menanggapi kata-kata
itu, Sayidina Ali r.a berkata, “Wahai Abu Bakar, anda telah membuat hatiku
goncang yang sebelumnya tenang. Anda telah mengingatkan sesuatu yang sudah
kulupakan. Demi Allah, aku memang menghendaki Fatimah, tetapi yang menjadi
penghalang satu-satunya bagiku ialah kerana aku tidak mempunyai apa-apa.”
Abu Bakar r.a
terharu mendengar jawapan Sayidina Ali r.a yang menyentuh perasaan itu. Untuk
membesarkan dan menguatkan hati Sayidina Ali r.a, Abu Bakar berkata, “Wahai
Ali, janganlah engkau berkata seperti itu. Bagi Allah dan Rasul-Nya, dunia dan
seisinya ini hanyalah ibarat debu-debu bertaburan belaka!”
Setelah berlangsung
dialog seterusnya, Abu Bakar r.a berjaya mendorong keberanian Sayidina Ali r.a
untuk melamar puteri Rasulullah SAW. Beberapa waktu kemudian, Sayidina Ali r.a
datang menghadap Rasulullah SAW yang ketika itu sedang berada di tempat
kediaman Ummu Salamah. Mendengar pintu diketuk orang, Ummu Salamah bertanya
kepada Rasulullah SAW, “Siapakah yang mengetuk pintu?” Rasulullah menjawab,
“Bangunlah dan bukakan pintu baginya. Dia orang yang dicintai Allah dan
Rasul-Nya, dan ia pun mencintai Allah dan Rasul-Nya!”
Jawapan Nabi
Muhammad SAW itu belum dapat memuaskan hati Ummu Salamah r.a. Ia bertanya lagi,
“Ya, tetapi siapakah dia itu?”
“Dia saudaraku,
orang kesayanganku!” jawab Nabi Muhammad SAW.
Tercantum dalam
banyak riwayat, bahawa Ummu Salamah di kemudian hari mengisahkan pengalamannya
sendiri mengenai kunjungan Sayidina Ali r.a kepada Nabi Muhammad SAW itu: “Aku
berdiri cepat-cepat menuju ke pintu, sampai kakiku terhantuk-hantuk. Setelah
pintu kubuka, ternyata orang yang datang itu ialah Ali bin Abi Talib. Aku lalu
kembali ke tempatku semula. Dia masuk, kemudian mengucapkan salam dan dijawab
oleh Rasulullah SAW. Ia dipersilakan duduk di depan baginda. Ali bin Abi Talib
menundukkan kepala, seolah-olah mempunyai maksud tetapi malu hendak
mengutarakannya.
Rasulullah
mendahului berkata, “Wahai Ali, nampaknya engkau mempunyai suatu keperluan.
Katakanlah apa yang ada dalam fikiranmu. Apa saja yang engkau perlukan, akan
kauperolehi dariku!”
Mendengar kata-kata
Rasulullah SAW itu, lahir keberanian Ali bin Abi Talib untuk berkata,
“Maafkanlah aku, ya Rasulullah. Engkau tentu ingat bahawa engkau telah
mengambil aku dari bapa saudara engkau, Abu Talib dan ibu saudara engkau, Fatimah
binti Asad, ketika aku masih kanak-kanak dan belum mengerti apa-apa.
Sesungguhnya Allah telah memberi hidayah kepadaku melalui engkau juga. Dan
engkau, ya Rasulullah, adalah tempat aku bernaung dan engkau jugalah yang
menjadi wasilahku di dunia dan Akhirat. Setelah Allah membesarkan aku dan
sekarang menjadi dewasa, aku ingin berumah tangga, hidup bersama seorang
isteri. Sekarang aku datang menghadap untuk melamar puteri engkau, Fatimah. Ya
Rasulullah, apakah engkau berkenan menyetujui untuk menikahkan diriku
dengannya?”
Ummu Salamah
membuka kisahnya: “Ketika itu kulihat wajah Rasulullah nampak berseri-seri.
Sambil tersenyum baginda berkata kepada Ali bin Abi Talib, “Wahai Ali, apakah
engkau mempunyai suatu bekal mas kahwin?”
“Demi Allah,” jawab
Ali bin Abi Talib dengan terus terang, “Engkau sendiri mengetahui bagaimana
keadaanku, tak ada sesuatu tentang diriku yang tidak engkau ketahui. Aku tidak
mempunyai apa-apa selain sebuah baju besi, sebilah pedang dan seekor unta.”
“Tentang pedangmu
itu,” kata Rasulullah menanggapi jawapan Ali bin Abi Talib, “Engkau tetap
memerlukannya untuk meneruskan perjuangan di jalan Allah. Dan untamu itu engkau
juga perlu untuk keperluan mengambil air bagi keluargamu dan juga engkau
memerlukannya dalam perjalanan jauh. Oleh kerana itu aku hendak menikahkan
engkau hanya atas dasar mas kahwin sebuah baju besi saja. Aku puas menerima
barang itu dari tanganmu. Wahai Ali, engkau wajib bergembira, sebab Allah Azza
wa Jalla sebenarnya sudah lebih dahulu menikahkan engkau di langit sebelum aku
menikahkan engkau di bumi!” Demikianlah riwayat yang diceritakan Ummu Salamah
r.a.
Setelah
segala-galanya siap, dengan perasaan puas dan hati gembira, dengan disaksikan
oleh para Sahabat, Rasulullah mengucapkan kata-kata ijab kabul pernikahan puterinya:
“Bahawasanya Allah SWT memerintahkan aku supaya menikahkan engkau Fatimah atas
mas kahwin 400 dirham (nilai sebuah baju besi). Mudah-mudahan engkau dapat
menerima hal itu.”
“Ya Rasulullah, itu
kuterima dengan baik,” jawab Ali bin Abi Talib dalam pernikahan itu.
Demikianlah berlakunya pernikahan antara dua orang yang sangat dicintai oleh
Rasulullah SAW yakni puterinya, Siti Fatimah dan Sahabat yang jua merupakan
sepupu baginda yakni Sayidina Ali. Rasulullah SAW mendoakan keberkahan atas
perkahwinan itu.
“ Semoga Allah menghimpunkan yang terserak daripada keduanya, memberkati mereka berdua dan semoga Allah meningkatkan darjat
keturunan mereka menjadi pembuka rahmat, sumber ilmu dan hikmah serta pemberi
rasa aman bagi umat “